Bulan Disember 2009 merupakan bulan yang paling busy yang aku tak rasa sejak sekian lama. Pertamanya, aku nak akad nikah dan kenduri kahwin pada 19,20 dan 26 Disember. Tarikh tu dah ditetapkan selepas Hari Raya Aidilfitri hari tu. Keduanya, aku dah apply cuti selama 10 hari yang bermaksud aku takkan masuk ofis selama 2 minggu lebih. Jadinya terpaksalah menyiapkan segala tugas-tugas sebelum bercuti. Ketiganya, ada ramai dan banyak lagi kad undangan perkahwinan aku yang belum diedarkan.
So lepas Walid aku di discharge daripada IJN pada 3/12/09, aku pun kembali bertugas macam biasa. Sebelum pergi kerja, cium tangan walid aku dulu baru pergi. Ummi duk pesan mintak cium tangan sebab takut jadi apa-apa tak sempat karang. Jumaat 4/12/09, aku dikejutkan waktu kat ofis dengan call daripada Ummi aku cakap walid aku pitam time nak pergi toilet. Lepas tu Ummi call lagi aku tanyakan pasal nak dapatkan katil untuk orang sakit. Aku pun carik la online, ada la medical bed harga RM800, aku cakap kat walid ok tak harga tu. Walid kata dia nak tengok dulu. Petang tu pakcik aku tolong hantarkan walid aku pergi ke IJN. Petang tu jugak aku bergegas ke IJN nak tengok keadaan walid aku. Pukul 6 lebih baru doktor cakap yang walid aku cuma gastrik sebab perut tak tahan lapar. So, doktor pun kata boleh balik. Aku pun bawak la walid aku balik menjelang maghrib.
Sepanjang weekend, memang saudara mara semua datang rumah menjenguk walid aku. Dengan keadaan walid aku sakit dada, kesian jugak tengok keadaan walid aku tu. Aku cuma tolong apa yang termampu jer la. Ada la aku kasi pisau cukur pakai buang aku sebab walid nak bercukur waktu tu. Selain tu, aku tengok ada la walid duk mengadap laptop dia menyiapkan report.
Hari Isnin 7/12/09, aku pergi kerja macam biasa. Ummi duk jaga walid yang kadang-kadang sakit dada. Balik kerja, pergi jumpa kawan edarkan kad kahwin aku. Hari Selasa 8/12/09, aku ada kerja lebih masa sikit kat Bangsar, jumpa kawan lain pulak sama jugak kasi kad kahwin. Aku balik lewat malam tu, pergi jenguk walid tengok dah tido dah dengan ummi.
Hari Selasa 9/12/09 pukul 3.30am, aku dikejutkan oleh adik bongsu aku bangun. Adik aku cakap walid dah tak sedar, aku pun bergegas turun daripada bilik aku kat atas ke bawah. Aku nampak walid aku dah tak sedarkan diri, ummi waktu tu dah menangis-nangis. Semua ahli keluarga aku waktu tu dah ada kat sebelah katil walid. Aku pegang tangan walid, tangannya masih panas lagi. Tapi waktu tu, walid dah tak bernafas dah dan nadi dah lemah. Adik bawah aku dah call ambulans, tapi tunggu punya tunggu tak sampai-sampai. Adik aku call lagi, operator kata ambulans dalam perjalanan. Waktu berlalu dengan pantas, dalam fikiran aku, kalau walid dah lebih 15 minit tak bernafas, otak dah tak boleh berfungsi, mungkin akan koma kalau walid masih dapat diselamatkan. Aku dan adik aku panggil jiran terdekat untuk datang tengok keadaan walid. 45 minit kemudian, baru ambulans bulan sabit merah tiba.
Paramedik datang buat pemeriksaan kat walid. Sambil menggeleng kepalanya, paramedik tu kata "Ayah encik dah takde", lantas dia tengok jam tangannya (lebih kurang dalam pukul 4 pagi) dan bertanyakan siapa waris terdekat. Aku waktu itu terasa seperti nak pitam tapi masih lagi menahan diri aku daripada menangis. Air mataku berlinangan sebentar mengenangkan segala pengorbanan walid yang telah diberikan kepada aku selama ini. Aku lihat ummi dan adik-adik aku menangis teresak-esak. Aku dalam kebingungan berunding dengan paramedik tersebut untuk langkah seterusnya, paramedik tersebut meminta aku pergi ke balai polis buat laporan kematian dengan membawa dokumen perubatan dan IC.
Sebagai Abg sulung, aku bertanggungjawab selaku pengganti walid selain daripada Ummi jadi aku ambil tanggungjawab menguruskan urusan jenazah walid. Pukul 4.15am, membawa IC dan kad IJN walid, aku terus drive ke Balai Polis Sentul. Dalam kereta, aku tidak dapat menahan kesedihan lalu aku menangis sorang-sorang. Nasib baik walaupun sedih, aku masih boleh drive kereta lagi. Sampai je kat Balai Polis Sentul, polis kat kaunter kata kena tunggu sampai ofis bukak baru diorang boleh keluarkan permit kubur dan aku kena pergi Balai Polis Jinjang dan bukan di Sentul. Aku kemudian waktu perjalanan balik, singgah ke rumah datuk aku untuk maklumkan berita sedih.
Aku kemudian balik ke rumah, solat subuh dan baca Yassin sebanyak yang mungkin. Sorang demi sorang ahli keluarga dan sahabat handai walid aku muncul di rumah. Perasaan waktu tu memang tak dapat digambarkan lagi. Aku juga bertindak sebagai penyambut tetamu sementara adik aku pergi tolong uruskan hal pengebumian di masjid berdekatan. Sememangnya banyak perkara aku dan keluarga aku terpaksa belajar sewaktu menguruskan hal sedih ini.
Upacara mandi jenazah dilaksanakan jam 11 lebih (aku dan adik beradik aku sendiri tolong mandikan jenazah walid), sembahyang jenazah selepas Zuhur dan pengebumian sejurus selepas itu (aku dan adik aku turun ke dalam liang lahad memasukkan jenazah walid ke dalam dan kambus tanah). Sememangnya hari Selasa 9hb Disember 2009 merupakan satu hari yang sangat panjang dan letih yang pernah aku rasa. Malamnya pulak, ada tahlil selama 3 malam dan ramai lagi sanak saudara berkunjung.
Aku tak ambik banyak gambar sepanjang hari 9hb Disember tu sebab aku cuma nak simpan kisah memori sedih ini. Terlalu banyak perkara yang perlu aku dan keluarga selesaikan bagi pihak Walid. Mungkin aku akan tulis perkara-perkara yang perlu dilakukan sekiranya bapa meninggal dunia terutamanya dalam hal harta-harta peninggalan. Satu topik yang agak berat namun perlu diselesaikan demi kesejahteraan roh arwah.
Al-Fatihah kepada al-marhum Walid ku Syed Azizan bin Syed Hashim Al-Idrus. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang soleh lagi beriman.
1 komen
Semoga ko semakin tabah menghadapi hari2 mendatang ...
ReplyDelete